Search This Blog

Tuesday, February 2, 2010

Bantuan tidak cukup


KUALA LUMPUR: “Tidak ada tali yang kukuh untuk dipaut atau bergantung menjadikan ibu tunggal ini mencari rezeki dengan ‘jalan hitam’, menjual maruah semata-mata mendapatkan sesuap nasi,” kata Presiden Persatuan Wanita Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rubiah K Hamzah.Menurutnya, kes membabitkan ibu tunggal sanggup bekerja sebagai pelacur atau di tempat maksiat makin melarat apabila masyarakat, malah kerajaan tidak memberi bantuan yang cukup kepada mereka.

Beliau berkata, apa ditawarkan dan disediakan sekarang ini masih tidak mencukupi bagi membantu seluruh ibu tunggal.

“Mereka (ibu tunggal) bukan mahu ditakdirkan mencari rezeki dengan menjual maruah, tapi mereka terpaksa kerana tiada jalan lain mencari rezeki. Mereka bukan saja perlukan bantuan dari segi modal atau peruntukan, malah dorongan mental dan spiritual.

“Persatuan Ibu Tunggal yang ada ketika ini seharusnya dimartabatkan menjadi yayasan supaya mendapat peruntukan lebih besar bagi menampung kehidupan ibu tunggal,” katanya.

Rubiah yang juga pakar motivasi berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Harian Metro, semalam, yang mendedahkan ‘mak janda’ yang bekerja di kelab karaoke di ibu kota menawarkan perkhidmatan seks dengan pendapatan mencecah RM15,000 sebulan.

Katanya, kerajaan perlu lebih peka kepada masalah ini kerana membabitkan pembentukan masyarakat lebih-lebih lagi generasi muda yang akan menerajui negara. “Saya nampak ketika ini tiada saluran kukuh untuk mengadu, buat laporan dan sebagainya. Mereka perlu dilindungi, apabila tiada tempat yang kukuh untuk mengadu, golongan ini terdorong mengambil jalan pintas mencari rezeki.

“Dalam isu ini, masyarakat kita yang ‘sakit’ sebenarnya, kerana tidak membantu mereka ini, malah menuding jari serta menyalahkan ibu tunggal. Sedangkan mereka (ibu tunggal) perlu tempat bergantung dan duit menyara anak,” katanya sambil menambah masalah ini turut berpunca daripada peraturan yang terlalu banyak ditetapkan kerajaan dalam memberi bantuan.

“Saya sedih kerana mendapat banyak laporan ibu tunggal yang menyatakan kekesalan kerana susah mendapat modal dari kerajaan bagi memulakan perniagaan, perlukan tanda tangan banyak pihak dan sekiranya kurang mendapat keuntungan, bantuan berkenaan akan ditarik balik,” katanya.

No comments:

Post a Comment