Search This Blog

Thursday, January 21, 2010

Tindakan tegas menanti penyeludup, penjual mercun

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menyeludup dan menjual mercun serta bunga api sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Malah, jabatan itu telah pun melancarkan operasi 'Ops Palang' di seluruh negara bagi membanteras penyeludupan barangan tersebut bermula 12 Januari lalu.

Timbalan Ketua Pengarah KDRM (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Mohamed Khalid Yusuf berkata, tindakan undang-undang akan turut diambil terhadap pemegang lesen menjual bunga api yang sah sekiranya mereka didapati melanggar syarat ditetapkan.

"KDRM kini akan meneruskan pemantauan bukan sahaja kepada pihak yang melakukan kegiatan penyeludupan haram, tetapi juga terhadap pihak yang sudah memiliki lesen sah untuk menjual bunga api.

"Terdapat segelintir pemegang lesen menjual bunga api dan mercun yang tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan iaitu bunga api dan mercun berbahaya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 14 Januari lalu, KDRM merampas sebanyak tujuh tan mercun dan bunga api bernilai RM346,000 termasuk cukai di Kemaman, Terengganu.

Semalam pula, pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM20,000 ditemui di tapak pelupusan sampah, kira-kira 80 meter dari pintu sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.

Mohamed Khalid memberitahu, lebih 300 anggota dan pegawai penguat kuasa KDRM terlibat dalam operasi membanteras penyeludupan dan penjualan bahan larangan itu.

"Kami akan menggunakan beberapa strategi baru dalam operasi kali ini. Strategi yang digunakan biasanya berubah mengikut keadaan dan keperluan.

"Kebiasaannya, analisis mengenai trend penyeludupan mercun dan bunga api akan dibuat selepas perayaan berakhir berdasarkan statistik yang dikeluarkan," katanya yang enggan mengulas mengenai strategi yang diguna pakai dalam operasi kali ini.

Menurut beliau, berdasarkan trend kegiatan penyeludupan tahun lalu, kemasukan rokok mencatat rekod paling kritikal diikuti dengan minuman keras.

"Penyeludupan mercun dan bunga api pula hanya dilaporkan tinggi menjelang musim perayaan sahaja.

"Disebabkan musim perayaan akan tiba tidak lama lagi, kami beri amaran supaya orang ramai tidak terlibat dalam kegiatan penjualan dan penyeludupan barangan ini," tegasnya.

No comments:

Post a Comment