Search This Blog

Thursday, January 21, 2010

Lelaki tua mati ditetak

IPOH 20 Jan. - Seorang warga emas yang lumpuh sebelah badan ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala, tangan dan tengkuk, dipercayai ditetak dengan benda tajam di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan II di sini hari ini.

Polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam, menemui mayat S. Kanavathy, 53, dalam keadaan duduk dan berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mangsa dipercayai dibunuh semalam dan mayatnya dijumpai orang awam pukul 2 petang.

"Polis percaya mangsa mati akibat ditetak dengan objek tajam tetapi kita tidak menemui sebarang senjata.

"Mangsa tinggal seorang diri di bekas sebuah tokong Cina. Mayat mangsa yang cedera parah ditemui dalam keadaan duduk di atas kerusi malas dengan kepalanya tertunduk.

"Polis masih menyiasat punca kejadian dan tiada tangkapan dibuat setakat ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, abang mangsa, S. Shannumugam, 60 ketika ditemui berkata, adik lelakinya itu yang sudah berpisah dengan isterinya mempunyai lima orang anak dan baru sebulan tinggal di tokong tinggal tersebut.

Ujarnya, mangsa tidak bekerja dan lumpuh sebelah kiri badan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya 15 tahun lalu.

"Dia tidak boleh berjalan selepas kemalangan itu dan hanya mampu mengengsot.

"Kali terakhir saya jumpa dia, minggu lepas apabila dia datang ke rumah untuk meminjam duit sebanyak RM100. Duit itu dia nak gunakan untuk rawatan sakit belakang," katanya

No comments:

Post a Comment