Search This Blog

Sunday, January 17, 2010

Kontraktor mati selepas ditikam tujuh kali

JEMPOL 16 Jan. - Seorang kontraktor mati selepas ditikam bertubi-tubi oleh tiga lelaki ketika sedang makan di sebuah medan selera di Jalan Rompin-Bahau, dekat sini awal pagi tadi.

Mangsa, Abd. Murad Md. Yusuf, 41, meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Seri Jempol, di sini akibat cedera parah di perut dan dada akibat ditikam dengan senjata tajam dipercayai pisau.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, kejadian pada pukul 2 pagi itu dikatakan berpunca selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

Katanya, mangsa dari Kampung Sepri Tengah, Kuala Klawang, Jelebu, kemudian ditikam tujuh kali.

"Polis mencari tiga suspek yang dipercayai telah melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Honda berwarna putih," katanya dalam satu sidang akhbar di Seremban, hari ini.

Menurut Osman, polis menyiasat motif serangan tiga suspek berkenaan dan tujuan mangsa berada di kawasan itu.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban untuk dibedah siasat dan telah dituntut oleh keluarganya lewat petang ini.

"Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan dan mengenal pasti tiga penyerang berkenaan," katanya.

Sementara itu, di bilik mayat HTJ di Seremban, abang mangsa, Abd. Babji Md. Yusuf yang berusia lewat 40-an memberitahu, adiknya tersebut sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

"Arwah tidak mempunyai musuh dan rapat dengan semua saudara dan ahli keluarga. Saya tidak tahu mengapa adik saya dibunuh dengan kejam.

"Dia seorang yang baik dan jarang sekali memarahi orang lain," katanya.

Beliau berharap agar penyerang adiknya itu segera ditahan pihak berkuasa dan dihadapkan ke muka pengadilan.

No comments:

Post a Comment