Search This Blog

Monday, January 25, 2010

Dua lagak cari orang

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

2010/01/25 BALIK PULAU: Lagak dan gaya seperti mahu mencari seseorang, tetapi selepas loceng ditekan beberapa kali tanpa jawapan, dua lelaki bersenjatakan sebatang pengumpil besi memecah masuk sebuah rumah teres dua tingkat sebagai sasaran aktiviti haram mereka.


Taktik licik sindiket pecah rumah itu dikesan polis apabila sebuah rumah teres di Jalan Pantai Jerejak, Bayan Lepas di sini, dipecah masuk mengakibatkan pemilik rumah berusia 30-an itu kerugian kira-kira RM12,000.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain, berkata dalam kejadian jam 7 malam Isnin lalu, sebuah rumah teres dua tingkat dipecah masuk dua lelaki selepas mangsa seorang penyelia sebuah kilang perindustrian di Bayan Lepas ketika pulang dari kerja.


Beliau berkata, dalam kejadian itu mangsa mendapati pintu pagar automatik serta pintu utama rumah terbuka, manakala kunci mangga dipotong sebelum mendapati keadaan dalam rumah berselerak.

Katanya, siasatan mendapati barang kemas, wang tunai kira-kira RM3,000 dan komputer riba hilang dengan anggaran nilai kerugian kira-kira RM12,000.

"Hasil siasatan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran bersebelahan mendapati kelibat dua lelaki menaiki sebuah kereta jenis Daihatsu berwarna putih terbabit dalam kes pecah rumah ini.


"Suspek bertubuh gempal dan berusia antara 30 ke 50 tahun didapati memotong kunci mangga pagar sebelum masuk ke rumah," katanya.

Mohd Hatta berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan identiti suspek dan ia dilakukan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah siang hari dan sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Boby Tamat di talian 04-8662222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

No comments:

Post a Comment