Search This Blog

Thursday, January 21, 2010

'Ayah bohong'

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my
2010/01/21 KANGAR: “Apa yang bapa (Abdul Rahman Talib) cakap semua bohong. Dia tidak pernah menjalani rawatan jantung dan perbuatannya mereka-reka cerita berkenaan semata-mata untuk meraih simpati masyarakat,” tegas Suhari Abdul Rahman, 28, yang didakwa membuang bapa kandungnya.

Menurutnya, dia dan isteri, Noraiza Ayub, 32, tidak pernah menghalau bapanya keluar dari rumahnya di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Beseri, dekat sini, sebaliknya Abdul Rahman sukarela keluar dan berhasrat menetap berasingan daripada keluarganya.


Katanya, mereka tidak pernah melihat kesan parut pada dada atau bahagian lain di tubuh badan bapanya berikutan pembedahan jantung yang didakwa dilakukan sebelum ini.


“Selalunya jika seseorang menjalani pembedahan jantung akan meninggalkan parut, tapi saya dan isteri tak pernah melihat kesan terbabit selepas dia pulang ke rumah pada 7 Januari lalu.


“Bapa selalu mereka-reka cerita untuk menarik simpati masyarakat dan kami tak pernah menghalaunya, malah makan dan minum dia di sini sentiasa dijaga,” katanya sambil ditemani isterinya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Pada 13 Januari lalu, Harian Metro melaporkan seorang bapa yang baru menjalani pembedahan jantung, berlinangan air mata selepas dibuang anak sendiri bersama bungkusan pakaian di pondok bas berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Wan Ahmad di sini.


Kejadian menyedihkan itu berlaku pada petang 8 Januari, sejurus Abdul Rahman mendakwa keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas menjalani pembedahan jantung, menjejak kaki di rumah anak lelakinya di RPA Beseri.


Anak lelakinya itu dikatakan mendapat tekanan daripada isterinya dan enggan menerima semula kehadiran bapa kandungnya dengan memberi pelbagai alasan tidak munasabah serta meminta warga emas itu menyatakan tempat untuk dituju.


Abdul Rahman diselamatkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ditempatkan di Rumah Orang Tua-Tua Batu Bertangkup, Chuping, dekat sini, selepas laporan akhbar ini.


Suhari berkata, dia tetap memaafkan perbuatan bapanya walaupun kenyataannya sebelum ini lebih berunsur fitnah dan cuba mengaibkan keluarganya, terutama isteri.


“Lagi pula, pampasan bagi pengambilan rumah di Kampung Belat Batu, Arau bukan kepunyaan bapa, sebaliknya sumbangan bapa saudara saya, Abdul Rahman Rejab. Rumah terbabit diambil kerajaan untuk projek dan pampasan digunakan untuk membeli rumah RPA ini,” katanya.


Noraiza pula sedih apabila dia dikaitkan punca Abdul Rahman dibuang anaknya sendiri dan sempat menghubungi bapa mentuanya bagi menyatakan rasa tak puas hati pada 16 Januari lalu.


“Bapa mentua cuba menganiaya saya dengan mereka pelbagai cerita karut untuk menagih simpati masyarakat dan saya malu dengan perbuatannya,” katanya.


Sementara itu, Abdul Rahman ketika ditemui semalam mendakwa, menantunya bukan saja mengabaikan makan dan minum, malah mengaibkannya dengan mendakwa dia cuba mencabul menantunya.


“Saya tak akan memaafkan perbuatan Noraiza di dunia dan akhirat, tapi memaafkan perbuatan Suhairi yang saya lihat lebih menuruti kehendak isteri. Saya pergi sendiri ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani rawatan jantung dan bertarung maut di sana selama empat hari.


“Saya juga berkali-kali meminta dia (Noraiza) mengangkat sumpah di masjid serta membuat laporan polis berikutan dakwaan dicabul. Dia cuba mempengaruhi Suhairi dengan dakwaan terbabit bertujuan menghalau saya keluar dari rumah berkenaan,” katanya sambil memegang surah Yassin bagi menyatakan dia tidak pernah melakukan perbuatan cabul terhadap menantu.


Abdul Rahman mendakwa terpaksa berkerja keras ketika menetap bersama anaknya di RPA Beseri termasuk setiap pagi berbasikal membeli keperluan perniagaan Suhairi yang berniaga sate serta memasak untuk keperluan dirinya memandang anak dan menantunya kerap bangun lewat.


Abdul Rahman berkata, dia keluar dari rumah berkenaan apabila diarah menantu dan ketika itu, Suhari yang tidur terpaksa bangun untuk membawanya keluar sebelum ditinggalkan di pondok bas.


Sementara itu, seorang pegawai JKM pula mengesahkan Abdul Rahman pernah menjalani rawatan jantung iaitu menerusi teknik Angiogramme di Hospital Pulau Pinang dan dibenarkan keluar dari wad pada 7 Januari lalu.


Seorang jiran di RPA Beseri pula berkata, Abdul Rahman seorang pendiam dan dilihat keluar dari rumah setiap pagi untuk membeli keperluan dapur dan memasak di rumah.


“Kami sedih apabila lihat pak cik (Abdul Rahman) pulang berjalan seorang diri sambil memegang dada selepas menjalani rawatan jantung di Pulau Pinang,” katanya.


Katanya, dia dan rakan pernah menasihati Noraiza yang sebelum ini kerap menyatakan dia cuba dicabul mentua membuat laporan polis dan bersumpah di masjid, tetapi dia enggan.

No comments:

Post a Comment