Search This Blog

Loading...

Tuesday, March 31, 2015

10 orang tertimbus


PENDUDUK Kashmir membantu mencari mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh, semalam.
Srinagar: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di Kashmir semalam.
Kejadian berlaku ketika mangsa tidur.
Ia berpunca daripada hujan lebat luar musim yang melanda India ketika ini hingga memusnahkan hasil pertanian dan menimbulkan kebimbangan mengenai banjir kilat di kawasan pergunungan di utara negara itu.
Ratusan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing semalam apabila sungai utama di Kashmir mula melimpah tebing dan peramal kaji cuaca menjangka keadaan berterusan selama beberapa hari lagi di wilayah itu yang tujuh bulan lalu dilanda banjir besar.
Dalam kejadian semalam, sebuah tebing bukit runtuh, menimbus rumah di sebuah kampung yang terletak 40 kilometer dari Srinagar, ibu negeri Kashmir.
Tiga keluarga berada dalam rumah berkenaan dan polis terpaksa menggunakan penggali serta penyodok untuk mencari mereka.
“Seluruh rumah musnah ditimbus tanah runtuh itu. Tidak mungkin ada yang terselamat,” kata jiran keluarga itu, Mushtaq Ahmad.
Superintendan polis tempatan Fayaz Ahmad Lone berkata, 10 orang tertimbus dalam kejadian itu.
September lalu, lembah Kashmir mengalami banjir paling buruk dalam tempoh lebih seabad, menyebabkan lebih 200 penduduk mati dan hampir sejuta orang terpaksa menumpang di kawasan selamat selama beberapa minggu.
Kerajaan Kashmir semalam mengumumkan amaran banjir dan meminta penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Jhelum, sungai utama yang merentasi Srinagar, meninggalkan kediaman masing-masing.
Pihak berkuasa membina beberapa pusat bantuan sementara untuk mereka yang terpaksa berpindah.
Seorang doktor, Mujeeb Ahmad yang meninggalkan kediamannya bersama-sama keluarganya semalam berkata: “Tahun lalu, keluarga saya terperangkap dalam banjir dan kami diselamatkan selepas empat hari. Kami tidak mahu kejadian itu berulang.”
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 10:00 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40464#sthash.3bW3Vgch.dpuf

Dua gadis ditangkap berkhalwat dengan tiga pemuda dipenjara





KOTA BHARU – Dua gadis terpaksa meringkuk di penjara selepas masing-masing gagal membayar denda RM900 dan RM800 yang dijatuhi Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam atas kesalahan berkhalwat dengan tiga pemuda pada Khamis minggu lalu.

Hakim Syarie Zahari Mohd. Yusof menjatuhi hukuman tersebut terhadap Nur Syafiqah Sari, 18, dan rakannya Fatin Nadia Mohd. Zulkafli, 17, selepas mereka didapati bersalah melakukan perbuatan khalwat di sebuah rumah di Kampung Kenali, Kubang Kerian di sini kelmarin.

Bagaimanapun, kedua-dua gadis yang mempunyai rekod kesalahan sama sebelum ini gagal melunaskan denda itu menyebabkan mereka terpaksa menjalani hukuman penjara masing-masing tiga bulan dan dua bulan.

Sementara itu, Zahari memerintahkan Ahmad Syamil Zakiran Zuhaimi, 20, Mohammad Sulazmie Che Hassan, 20, dan Khairul Anam Ramli, 31, yang ditangkap bersama dua gadis itu masing-masing dijatuhi hukuman denda RM600.

Ketiga-tiga pemuda itu membayar denda tersebut.

Ahmad Syamil, Sulazmie dan Khairul didakwa mengikut Seksyen 9(3) Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya jika disabitkan.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3VutrwjSm
Hakcipta terpelihara 

Pembunuh kejam terima balasan


SHAH ALAM – Perbuatan kejam seorang pendawai elektrik menghentak kepala seorang perunding teknologi maklumat (IT) sehingga mati ketika memecah masuk rumah mangsa kira-kira tiga tahun lalu berbalas apabila dia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Mohd. Naim Ramli, 27, didapati bersalah membunuh Loh Min Lee, 36, di dalam rumah mangsa di Taman Putra Perdana, Puchong pada pukul 4.15 petang, 7 Disember 2012.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman memerintahkan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menyangkal bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.
Beliau berkata, pihak pendakwaan yang mengemukakan 22 orang saksi berjaya membuktikan Mohd. Naim bertanggungjawab sepenuhnya menyebabkan kematian Min Lee berdasarkan kesan cap jari milik tertuduh yang ditemui di dalam rumah mangsa.
“Keterangan saksi pendakwaan ke-14, Abdul Hazim Fazala Rahman yang juga rakan sejenayah tertuduh turut diterima mahkamah kerana ia konsisten dengan kenyataan beberapa orang saksi pendakwaan yang lain.
“Selain itu, keterangan tertuduh yang merupakan satu-satunya saksi pihak pembelaan didapati sekadar penafian semata-mata. Saya memerintahkan tertuduh digantung sampai mati,” katanya ketika membacakan keputusan penghakimannya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm#ixzz3VutjNxlH 
Hakcipta terpelihara 

Dua beranak ditemui rentung



Anggota bomba dan penyelamat sedang memasukkan mayat salah seorang mangsa ditemui rentung ke dalam beg mayat dalam kebakaran yang meragut dua beranak di Kampung Mogonibung dekat Penambang, Sabah semalam.


PENAMPANG – Dua beranak termasuk seorang kelainan upaya (OKU) terencat akal rentung selepas terperangkap di bahagian atas rumah dua tingkatnya dalam kebakaran di Kampung Mogonibung dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 4.03 pagi itu, mereka yang maut ialah seorang pemilik kilang perabot iaitu Yeon Chee Hwa, 63, dan anak lelakinya, Yeon Min Kok, 34.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Jaree Mohamad berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan sedang tidur di bilik yang sama di bahagian atas rumah dua tingkat berkenaan.
Katanya, kedua-dua mereka cuba menyelamatkan diri, namun gagal akibat keadaan api yang marak begitu kuat.
“Anggota bomba yang melakukan pe­meriksaan menemui mayat Chee Hwa di tingkat atas rumah berkenaan berdekatan tandas pada pukul 8.50 pagi.
“Selang 23 minit kemudian, mayat Min Kok pula ditemui di lantai bawah rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3VutQTH6W 
Hakcipta terpelihara 

Lubitz obses pergunungan Alps


PENDUDUK kampung Seyne kelmarin memperingati 150 penumpang dan anak kapal mangsa nahas Penerbangan 4U9525 Germanwings yang terhempas di pergunungan Alps, Perancis pada pagi Selasa lalu.


PARIS – Pembantu juruterbang Germanwings, Andreas Lubitz didakwa obses dengan pergunungan Alps Perancis, tempat sama pesawat Airbus A320 dipandunya terhempas pada Selasa lalu.
Lubitz (gambar kecil), 27, dilaporkan bercita-cita menjadi juruterbang sejak kecil lagi dan kerap menerbangkan peluncur udara bersama ibu bapanya di pergunungan tersebut, kira-kira 48 kilometer dari tapak nahas yang meragut nyawa kesemua 150 penumpang dan anak kapal Penerbangan 4U9525.
Dia turut mengambil bahagian dalam penerbangan yang melintasi pergunungan Alps ketika usia remajanya di samping menjalani kursus peluncur udara di kawasan tersebut. Lubitz mempunyai keghairahan tinggi untuk pergunungan itu dan sangat mengenali kawasan sekitar tapak nahas.
Ahli Kelab Sukan Luft Westerwald, Dieter Wagner, 70, memberitahu akhbar Le Parisien bahawa Lubitz menyertai kursus peluncur udara ketika berusia 14 tahun dan minatnya terhadap pergunungan itu sampai tahap obses.
“Dia menjalani kursus itu dengan anak saudara saya di lapangan terbang peluncur udara di bandar Sisteron tidak jauh dari tapak nahas. Saya yakin dia sangat mengenali kawasan tapak nahas kerana dia pernah terbang di situ menggunakan peluncur udara,” katanya.
Dakwaan dia obses dengan pergunungan Alps timbul selepas sebuah akhbar Jerman, The Rheinische Post melaporkan Lubitz sengaja menyebabkan kemalangan tersebut kerana bimbang akan hilang lesen penerbangan akibat masalah kesihatan mata.
Lubitz didakwa sengaja menjunamkan pesawat itu ke pergunungan Alps dan dikatakan kekal tenang sepanjang tempoh tersebut selepas mengunci juruterbang di luar kokpit. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3VuswslLj 
Hakcipta terpelihara 

Bekas PM Israel bersalah lagi kes rasuah


BAITULMUQADDIS – Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert didapati bersalah menerima suapan daripada seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat dalam satu kes berasingan semalam.
Olmert sebelum ini dihukum penjara enam tahun kerana kes rasuah.
Keputusan bersalah itu susulan Mahkamah Daerah Baitulmuqaddis membatalkan penghakiman terdahulu pada 2012 yang membebaskan Olmert daripada tuduhan sama. Beliau memerintah Israel dari tahun 2006 hingga 2009.
Pada Mei lalu, Olmert dihukum penjara enam tahun dalam satu kes lain kerana menerima rasuah AS$160,000 berkaitan urusniaga hartanah di Baitulmuqaddis semasa beliau menjadi datuk bandar.
Beliau kini merayu hukuman tersebut di Mahkamah Agung Israel.
Olmert yang menafikan dirinya bersalah dalam kedua-dua kes berkenaan akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan terbaharu itu. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3VusWT0sr 
Hakcipta terpelihara 

Penulis blog ditetak sehingga mati



MAYAT penulis blog Washiqur Rahman terbaring di sebuah rumah mayat Kolej Perubatan Dhaka di Dhaka semalam.


DHAKA – Seorang penulis blog ditetak sampai mati di ibu kota Bangladesh, Dhaka semalam dalam serangan ganas terbaharu terhadap penulis bebas di negara berkenaan, kata seorang ketua polis.
Ketua polis berkenaan, Wahidul Islam berkata, pihaknya menangkap dua lelaki berhubung pembunuhan itu yang berlaku beberapa minggu selepas seorang penulis blog Amerika Syarikat (AS) turut maut akibat ditetak, juga di Dhaka.
Menurutnya, penulis blog AS itu merupakan seorang ateis atau tidak mempercayai kewujudan Tuhan.
“Mangsa ditetak hingga mati pagi ini (semalam) oleh dua penyerang bersenjatakan dua bilah pisau pada jarak 460 meter dari kediamannya di kejiranan Begunbari, di sini.
“Kedua-dua penyerang itu ditangkap ketika cuba melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya.
Menurut Wahidul, polis tidak pasti sama ada mangsa yang berusia 27 tahun itu, Washiqur Rahman juga seorang ateis tetapi seorang penulis blog lain berkata, dia dikenali kerana mengkritik Islam.
“Washiqur menulis menggunakan nama pena Kutshit Hasher Chhana atau itik hodoh," kata ketua pertubuhan penulis blog Rangkaian Aktivis Dalam Talian, Imran Sarker.
Sebelum ini, polis turut menangkap seorang suspek berhubung pembunuhan penulis blog AS berkenaan, Avijit Roy. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3VurLUIsz 
Hakcipta terpelihara 

Pengedar dadah hidup senang dalam penjara



GAMBAR yang didedahkan oleh Crocker menunjukkan katilnya. - AGENSI


PLYMOUTH, Britain – Seorang pengedar dadah di Plymouth didapati hidup mewah dalam penjara selepas beberapa gambarnya dimuat naik di laman jaringan sosial Facebook baru-baru ini.
Lelaki tersebut, Jason Crocker, 36, dipenjarakan selama lima tahun sejak Disember 2013 kerana mengedar dadah jenis heroin dari rumahnya di Plymouth.
Rakaman gambar yang dimuat naik oleh Crocker menggunakan telefon pintar yang diseludup ke dalam penjara menunjukkan sebuah televisyen dan dua konsol permainan video di dalam selnya.
Pada tahun lalu, dia mengaku memiliki sebuah telefon pintar di penjara dan dikenakan hukuman penjara tambahan enam minggu.
Crocker juga pernah memuat naik gambar dua sel penjara yang berbeza, Sel atau bilik penjara pertama dilengkapi jubin kelabu dan kalendar bertarikh Oktober 2014, manakala sel kedua dihiasi jubin biru.
“Perbuatan tersebut tidak boleh diterima sama sekali. Banduan yang ditangkap kerana menggunakan laman sosial akan dikenakan tindakan disiplin,” kata seorang jurucakap Perkhidmatan Penjara Britain. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Vur68KCh 
Hakcipta terpelihara 

Tiga pengarang The Malaysian Insider ditahan


Disiasat mengikut Akta Hasutan

AHMAD Fadli Shaari (depan, dua dari kiri) bersama ahli jawatankuasa Dewan Pemuda Pas menunjukkan sal
AHMAD Fadli Shaari (depan, dua dari kiri) bersama ahli jawatankuasa Dewan Pemuda Pas menunjukkan salinan laporan polis terhadap The Malaysian Insider di IPD Kota Bharu, semalam. – UTUSAN /YATIMIN ABDULLAH
KUALA LUMPUR 30 Mac - Tiga pengarang The Malaysian Insider ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung beberapa laporan yang disiarkan dalam portal propembangkang itu.
Ketiga-tiga mereka masing-ma­sing merupakan pengarang bahasa Inggeris portal itu, Lionel Morais, 47, Pengarang Bahasa Melayu, Amin Shah Iskandar, 35, dan Pengarang Rencana serta Analisis, Zulkifli Sulong, 53.
Mereka ditahan semasa serbuan di pejabat portal itu di Mutiara Damansara, Petaling Jaya kira-kira pukul 5.45 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, ketiga-tiga mereka ditahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut beliau, turut dirampas ialah komputer riba dan telefon bimbit.
“Serbuan dibuat bagi mendapatkan bahan-bahan berkaitan untuk membantu siasatan berhubung kenyataan berbaur hasutan yang dibuat portal propembangkang itu. Kesemua mereka ditahan di lokap Jinjang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya turut mengesahkan penahanan tiga pengarang terlibat.
“@PDRMsia sahkan bahawa tiga kakitangan The Malaysian Insider te­lah ditahan untuk siasatan. Siasatan bersama oleh PDRM dan @SKMM di bawah Akta Hasutan,” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memberitahu sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat The Malaysian Insider berhubung laporan-laporan yang disiarkan dalam portal itu.
Ketua Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Ahmad Raffie Sheikh Abdul Rahman berkata, siasatan itu termasuk laporan kononnya Majlis Raja-Raja menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Menurutnya, siasatan itu dilakukan selepas Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membuat laporan polis menafikan perkara itu, sementara banyak pihak turut mengeluarkan kenyataan bantahan terhadap portal tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tiga-pengarang-i-the-malaysian-insider-i-ditahan-1.75533#sthash.sSmed5uz.dpuf

Hampir 200,000 PATI dihantar pulang


KUALA LUMPUR 29 Mac – Usaha Jabatan Imigresen dalam membanteras masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini semakin memperlihatkan kejayaan apabila sepanjang tahun lalu sahaja sebanyak 182,340 orang diusir pulang ke negara asal.
Mustafa Ibrahim
Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 112,276 daripada mereka telah menyerah diri untuk pulang secara sukarela melalui program 3+1 manakala selebihnya, 70,064 orang diusir melalui Depoh Tahanan Imigresen.
Tambah beliau, dengan pengenalan program 3+1 itu, jumlah PATI yang menyerah diri secara sukarela didapati ramai kerana mereka hanya dikenakan bayaran kompaun RM300 dan RM100 untuk pas khas serta tidak dikenakan hukuman berat.
“Program tersebut berjaya menarik lebih 110,000 PATI menyerah diri dan secara tidak langsung membantu me­ngurangkan masalah berkenaan serta mengurangkan kos kerajaan dalam membawa mereka pulang ke negara asal.
“Saya akan terus berusaha tanpa henti bagi memastikan masalah ini dapat diatasi dan pada masa sama memerlukan kerjasama daripada orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat tentang PATI,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, pada tahun lalu sebanyak 5,452 operasi telah dijalankan dan 96,214 orang telah diperiksa oleh Jabatan Imigresen.
Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan antaranya membabitkan rumah kediaman, premis kedai, restoran dan rumah kongsi itu, pihaknya berjaya menahan sebanyak 37,644 PATI dan 557 majikan.
“Ini semua hasil kerja keras jabatan ini dengan bantuan pelbagai agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Kita yakin dengan operasi berterusan kerajaan akan dapat mengurangkan kehadiran PATI secara berkesan,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/hampir-200-000-pati-dihantar-pulang-1.75199#sthash.f5FJA0Gu.dpuf

Mayat lelaki berkopiah ditemukan di tepi jalan


PULAU PINANG 30 Mac – Mayat lelaki lengkap berkopiah putih dipercayai warga asing ditemukan di tepi jalan berhampiran Empangan Teluk Bahang, di sini pagi ini.
LAI FAH HIN
Difahamkan, mayat lelaki tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu ditemukan penduduk yang melalui jalan berhampiran empangan terbabit pada pukul 10.47 pagi sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Lai Fah Hin berkata, sekumpulan anggota dan pegawai penyiasat dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja laporan berhubung penemuan mayat terbabit dilaporkan.
Menurutnya, maklumat awal mendapati mayat itu berada dalam keadaan terlentang dan memakai kain pelikat putih tanpa baju serta ditutupi selimut.
“Tiada kecederaan fizikal dikesan pada badan mayat tetapi terdapat kesan darah pada hidung mangsa yang mendatangkan sedikit keraguan.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Fah Hin, mangsa yang dipercayai beragama Islam itu berkemungkinan meninggal dunia di tempat lain sebelum mayatnya ditinggalkan di tepi jalan berkenaan.
Menurutnya, setakat ini identiti mangsa masih belum dikenal pasti namun polis percaya mangsa merupakan warga asing sama ada dari Bangladesh atau Myanmar.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mayat-lelaki-berkopiah-ditemukan-di-tepi-jalan-1.75462#sthash.4JC3BIcw.dpuf

Polis buru suspek penipuan umrah


Law Hong Soon (tengah) bersama  pegawai-pegawainya menunjukkan
Law Hong Soon (tengah) bersama pegawai-pegawainya menunjukkan gambar tiga suspek yang dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan umrah, dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/Ghazali Basrii
KUALA LUMPUR 30 Mac – Polis memburu tiga suspek iaitu seorang lelaki dan dua isterinya yang dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan umrah melibatkan kerugian kira-kira RM700,000 sejak dua tahun lalu.
Suspek lelaki berkenaan iaitu Zakariah Hassan, 57, memegang kad pengenalan bernombor 580105-10-6017 dan beralamat terakhir di No.5, Jalan AUC1C/3G, Taman Keramat Permai di sini.
Sementara dua isterinya ialah Suziana Mohd. Yamin, 48, dan Syarifah Norfazihan Syed Mustafa, 37.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata, pihaknya telah mendapat banyak laporan dan aduan berhubung penipuan pakej umrah yang dilakukan ketiga-tiga suspek terbabit yang memperdayakan orang ramai melalui pelbagai modus operandi.
“Salah satu modus operandi syarikat berkenaan ialah menawarkan pakej umrah kepada bakal jemaah namun membatalkan rombongan tersebut setelah menerima pembayaran penuh daripada mangsa dengan alasan gagal mendapatkan visa dari kerajaan Arab Saudi.
“Ada juga yang dikesan tidak memulangkan duit kepada mangsa atau memberi cek atas nama akaun syarikat yang telah ditutup dan terdapat juga yang berjaya pergi namun dipaksa membayar wang tambahan kerana di sana syarikat lain pula menguruskan jemaah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam laporan akhbar April tahun lalu, polis mendedahkan yang pihaknya telah mengenal pasti tiga syarikat terbabit dalam kes penipuan umrah melibatkan kerugian kira-kira RM300,000 termasuk satu sindiket didalangi oleh seorang lelaki bersama tiga isterinya.
Bagaimanapun, salah seorang isteri suspek telah pun ditangkap di sebuah rumah di Damansara di sini tahun lalu dan masih memburu suspek serta dua lagi isterinya.
Tambah Hong Soon, pihaknya meminta bantuan dan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek agar menghubu­ngi balai polis berhampiran.
“Mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa pakej umrah sebegini juga diminta untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” ujarnya sambil menasihatkan orang Islam agar lebih berhati-hati dalam membeli pakej umrah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-buru-suspek-penipuan-umrah-1.75468#sthash.7CHFjIkc.dpuf

30 ditahan dalam parti liar


SLUG_PARTI LIARTELOK KEMANG 30 Mac 2015, Seramai 20 lelaki dan
Seramai 20 lelaki dan 10 perempuan termasuk lima pelajar universiti dan dua remaja bawah umur ditahan ketika asyik menari di sebuah parti liar dalam serbuan polis di sebuah apartmen di Batu 6, Jalan Pantai, Port Dickson, semalam.
TELOK KEMANG 30 Mac - Seramai 20 lelaki dan 10 wa­nita termasuk lima pelajar universiti dan dua remaja bawah umur ditahan dalam serbuan polis ketika asyik menari dalam parti liar di sebuah apartmen di Batu 6, Jalan Pantai, Port Dickson, dekat sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Zulkefli Adamsah berkata, kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 42 tahun datang dari sekitar negeri ini, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, dalam serbuan pa­da pukul 9.50 pagi itu, polis me­nemukan dua biji pil dipercayai ekstasi, ganja dan beberapa alat yang digunakan untuk menghisap ganja.
Katanya, polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mengadakan parti liar itu antaranya alat pembesar suara dan komputer.
“Saringan awal yang dijalankan mendapati seramai 24 orang daripada mereka positif dadah,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Port Dickson dekat sini hari ini.
Zulkefli memberitahu, polis sebelum itu menerima laporan daripada orang awam yang mengadu mengenai bunyi muzik yang terlalu kuat dari arah apartmen berkenaan.
Ujarnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Port Dickson telah menyerbu apartmen itu pada pukul 9.50 pagi dan menahan mereka.
“Parti ini dipercayai dianjurkan oleh seorang lelaki yang turut ditahan dalam serbuan tersebut dan kesemua mereka mendapat jemputan untuk hadir melalui pesanan sosial media WhatsApp,” ujarnya.
Tambah Zulkefli, kesemua me­reka direman empat hari hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15 (1) (A) dan Seksyen 6 akta sama.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/30-ditahan-dalam-parti-liar-1.75484#sthash.bQg2ARv1.dpuf

TLDM patah cubaan curi khazanah tinggalan kapal perang


Nikmat AZHAR MAHMUD menunjukkan bot nelayan yang dirampas yang
NIKMAT AZHAR MAHMUD menunjukkan bot nelayan yang dirampas yang dipercayai menjalankan aktiviti mencuri khazanah negara di kawasan perairan Pulau Tioman selepas sidang akhbar di Tanjung Gelang ,Kuantan, semalam. Utusan/MAHATHIR ALI
KUANTAN 30 Mac – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mematahkan cubaan mencuri khazanah negara berupa hasil tinggalan kapal perang semasa era Perang Dunia Kedua (WWII) selepas menahan 12 lelaki warga Vietnam dan Thailand kira-kira 72 Kilometer dari Pulau Tioman dekat sini, semalam.
Kegiatan kumpulan nelayan asing itu dikesan Kapal Diraja (KD) Pahang yang sedang menjalankan rondaan selepas menerima maklumat daripada markas operasi dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan pada 27 Mac lalu.
Difahamkan kawasan tersebut merupakan lokasi dua buah kapal perang British iaitu HMS Repulse dan HMS Prince Of Wales karam pada pada 10 Disember 1941.
Menurut Pegawai Pemerintah Kapal Diraja (KD) Pahang, Komander Nikmat Azhar Mahmud, selepas dua hari membuat pemantauan, iaitu kira-kira pukul 1.35 petang semalam, pihaknya mengesan sebuah bot nelayan yang mencurigakan di lokasi tersebut.
“Ketika diarahkan berhenti, bot tersebut cuba melarikan diri. Selepas enam kali amaran diberikan dan dua kali tembakan amaran dilepaskan barulah bot nelayan tersebut berhenti,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Wilayah Laut 1 TLDM Tanjung Gelang, di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati di dalam bot tersebut hanya terdapat seorang sahaja iaitu tekong warga Thailand malah tiada sebarang peralatan menangkap ikan.
“Kita kemudian mengesan sebuah lagi bot yang mencurigakan pada pukul 3.09 petang kira-kira sembilan kilometer dari lokasi tangkapan pertama.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seramai 11 tekong dan awak-awak warga Vietnam berada di dalam bot dan kesemuanya tidak memiliki visa yang sah,” katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan dijalankan pada bot kedua membawa kepada penemuan pelbagai barangan tembaga dipercayai dicuri daripada kapal perang British ketika Perang Dunia Kedua.
Katanya, semua ditahan berusia antara 15 hingga 47 tahun dan mendakwa memasuki kawasan perairan negara untuk tujuan menangkap ikan.
“Alasan diberikan tekong bot terbabit bagaimanapun tidak menepati pemeriksaan dijalankan pegawai dan anggota kami kerana tiada sebarang peralatan untuk menangkap ikan ditemui dalam bot itu.
“Kita tidak menolak kemung­kinan bot pertama dan bot kedua yang ditahan dalam operasi itu mempunyai kaitan dengan kegiatan mencuri khazanah negara yang berada di dasar laut,” katanya.
Beliau berkata, semua 12 tekong dan awak-awak itu, termasuk bot ditahan akan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk siasatan dan pendakwaan.
Katanya, kejayaan itu adalah yang pertama tahun ini dan pihak­nya akan meneruskan pemantauan bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan mencuri khazanah bernilai tinggi yang terdapat di per­­a­ir­an negara.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tldm-patah-cubaan-curi-khazanah-tinggalan-kapal-perang-1.75551#sthash.fMlM2eTp.dpuf

10 tertimbus tanah runtuh di Himalaya


Seorang wanita sakit diangkat menggunakan papan dari rumahnya
SEORANG wanita sakit diangkat menggunakan papan dari rumahnya yang ditenggelami banjir di Srinagar, India, semalam. REUTERS
SRINAGAR 30 Mac – Satu kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan Himalaya Kashmir yang dikuasai India, menimbus sekurang-kurang­nya 10 orang semasa mereka sedang tidur, ketika hujan luar biasa me­landa India di luar musim.
Ratusan penduduk bertindak meninggalkan rumah masing-masing selepas sungai utama Kashmir mula melimpahi tebing dengan jabatan kaji cuaca meramalkan hujan lebat berterusan di wilayah itu.
Satu kejadian tanah runtuh berlaku, menimbus sebuah rumah di Kampung Ledhan kira-kira 40 kilometer dari ibu negeri Srinagar, pagi ini, menghempap tiga keluarga yang nyenyak tidur.
Tentera dan polis dilapor menggunakan jengkaut dan penyodok bagi mengeluarkan mangsa.
“Peluang untuk menemukan mangsa yang masih hidup nampak mustahil,’’ kata jiran mangsa, Mushtaq Ahmad.
Jurucakap polis tempatan, Fayaz Ahmad Lone berkata, sebanyak 10 orang tertimbus di dalam rumah berkenaan dengan penduduk mengandaikan jumlah korban mungkin lebih tinggi.
India sedang dilanda musim hujan luar biasa ekoran perubahan iklim global, satu kajian tentang data 50 tahun oleh Institut Meteo­rologi Tropikal India. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/10-tertimbus-tanah-runtuh-di-himalaya-1.75517#sthash.hHuYffA1.dpuf